SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan FA SF1 | Terengganu FC 3-2 Selangor FC | Masih Ada Peluang

Jul 20, 2024 - FAS

Selangor FC kalah tipis di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, semalam dengan keputusan 3-2 menentang Terengganu FC (TFC) dalam saingan Separuh Akhir pertama Piala FA 2024/25.

Separuh masa pertama melihat skuad Merah Kuning menguasai perlawanan, namun dua jaringan pertama aksi ini dijaringkan oleh Safawi Rasid dengan sepakan percuma pada minit ke-30 dan Nurillo Tukhasinov jaringkan gol dari luar kotak pada minit ke-35. Seterusnya, hantaran baik Mukhairi Ajmal diledak masuk oleh Alvin Fortes pada minit ke-39, bagi tidak meletakan TFC di zon selesa. Skuad Gergasi Merah memulakan separuh masa kedua dengan langkah kanan apabila Noor Al-Rawabdeh berjaya mencetak gol kedua tiga minit selepas perlawanan diteruskan, minit ke-48 perlawanan. Namun, kedudukan seri bukanlah apa yang dimahukan akan tetapi Ismahil Akinade menjaringkan gol terakhir pada minit ke-70, membezakan kedudukan TFC dan Selangor FC bagi saingan Separuh Akhir pertama ini.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, pandang komitmen pemain dan yakin pasukan akan kembali bangkit di laman sendiri, “Saya mahu tekankan komitmen pemain, dimana mereka berjaya menjaringkan dua gol di Gong Badak semalam. Kita tak datang sini hanya untuk bertahan, kita datang sini untuk menjaringkan gol. Walaupun mereka mahukan keputusan yang positif, tetapi kita masih ada Separuh Akhir kedua di Stadium MBPJ nanti, yang saya yakin akan lebih baik aksinya. Namun, kekalahan ketiga bagi perlawanan Away adalah tanggungjawab saya dan satu perkara yang saya perlu titik beratkan.” jelas Nidzam Jamil.

Daripada perlawanan #TERSFC dalam saingan Piala FA pusingan Separuh Akhir pertama semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Komitmen tinggi Noor Al-Rawabdeh

Sebelum insiden luka di atas kening beliau berdarah selepas berlaga, Noor berjaya membuat hantaran-hantaran yang baik terutamanya di bahagian serangan membantu pasukan membuat beberapa percubaan di gawang TFC. 

Menurut Nidzam Jamil, “Saya diberitahu Noor perlu dijahit lima jahitan di separuh masa pertama namun beliau menyatakan bahawa beliau mahu bantu pasukan. Saya sangat berterima kasih dengan komitmen beliau. Begitu juga pemain-pemain lain.”

Hasil komitmen tingginya, Noor berjaya meledak masuk gol kedua buat Selangor FC semalam biarpun dalam keadaan kepalanya berbalut.

Jaringan ke-5 Fortes dalam saingan Piala FA

Alvin Fortes bangkit daripada perlawanan sebelum ini bagi membuktikan kelebihan yang beliau miliki. Jaringan beliau pada minit ke-39 semalam sedikit sebanyak telah memberi semangat kepada rakan sepasukan serta para penyokong kerana ketika itu pasukan ketinggalan dua gol. Cubaan demi cubaan beliau lakukan akhirnya gol pertama Gergasi Merah semalam terhasil selepas Fortes menerima hantaran baik daripada Mukhairi Ajmal. Setakat ini, Fortes telah menjaringkan lima gol buat Selangor FC dalam saingan Piala FA 2024/25.

Perlawanan Separuh Akhir Piala FA 2024/25 kedua akan berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 3 Ogos ini jam 9 malam. Skuad Gergasi Merah masih mempunyai harapan bagi melayakkan pasukan ke Perlawanan Akhir saingan ini. 

Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong yang bersama-sama berjuang di Terengganu semalam. Kita jumpa di Stadium MBPJ, Kelana Jaya bagi perlawanan saingan Liga Super menentang Penang FC pada minggu hadapan.

Demi Kebanggaan!